Pengerusi Piala Sultan Selangor 2019, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, beliau yakin sasaran tersebut bakal dicapai memandangkan sebelum tiket mula dijual, pihaknya sudah menerima banyak tempahan daripada pelbagai pihak.

“Semangat penyokong pasukan kita berkobar-kobar apatah lagi tahun lalu kita memenangi tiga trofi iaitu kategori bawah 16, Veteran dan Pilihan Selangor.

“Saya berharap tahun ini juga kita dapat berusaha mengekalkan ketiga-tiga piala itu walaupun Singapura begitu bersungguh-sungguh untuk membawa pulang piala itu, “katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Tiket Perlawanan Bola Sepak sempena The Sultan of Selangor’s Cup 2019 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim dan Timbalan Datuk Datuk Bandar, Rashidi Ruslan.

Abd. Karim berkata, MBSA menjadi lokasi pertama promosi TSSC 2019, diikuti pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor dan lokasi lain sepanjang dua minggu akan datang.

“Terima kasih kepada Datuk Bandar Shah Alam dan anggotanya memberikan kemudahan mempromosikan TSSC 2019, esok kami akan ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), seterusnya Sepang, Klang dan jelajah ini mengambil masa dua minggu.

“Sabtu ini saya akan bertemu semua persatuan penyokong dan pada 27 Julai pula kempen promosi dengan orang awam,” katanya.

Katanya lagi, tiket akan mula dijual dalam minggu ini dan pada sesi jelajah promosi, pihaknya akan mengumumkan di mana dan bila tiket boleh dibeli dan siapa untuk dihubungi. - UTUSAN ONLINE