Timbalan Ketua Setiausa­hanya, Badrul Hisham Mohamad berkata, setakat ini pengeluaran daging oleh syarikat atau penternak tempatan menyumbang kepada 30 peratus dalam pasaran manakala selebihnya diimport.

“Kita mahu mengurangkan kebergantungan daging import terutama dari Australia, Kemboja, Thailand dan Vietnam. Oleh itu, kita mahu sektor penternakan daging lembu di negara ini terus meningkat agar keperluan daging dalam pasaran dapat ditampung oleh pengeluar tempatan,” katanya selepas merasmikan pemasaran lembu korban bersepadu bersama Pertubuhan Peladang Kuala Langat (PPKL) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jemaah Pengarah PPKL, Abdul Razak Hasbullah dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli.

Selain itu katanya, kerjasama dengan pertubuhan peladang terutama di Kuala Langat dapat menyumbang kepada peningkatan pengeluaran daging tempatan apabila mencatatkan penjualan lembu tahun lalu sebanyak 1,026 ekor dengan nilai RM4.2 juta berbanding pada 2011 iaitu 20 ekor dengan nilai RM56,000.

Dalam pada itu Abdul Razak berkata, kesemua lembu yang diternak itu dipasarkan di sekitar Selangor dan beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan.

“Lembu berkualiti ini diter­nak oleh 13 usahawan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan kita harap dapat meningkatkan lagi jumlah lembu yang diternak bagi memenuhi kehendak pasaran,” katanya.