Melalui MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama menarik para penjawat awam di 20 universiti awam di seluruh negara memiliki sekurang-kurangnya satu perlindungan takaful sebagai persediaan menghadapi musibah yang tidak dijangka.

MyCuepacsCare yang dilantik oleh Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebagai pengendali program takaful khas untuk penjawat awam sejak 1999 akan mengadakan program promosi pelan perlindungan takaful melalui taklimat dan kaunter di 20 universiti tersebut.

GAKUM dan kesatuan universiti pula akan membantu mendapatkan kelulusan daripada pihak universiti untuk mengadakan program itu serta mempromosi kegiatan itu kepada kakitangan universiti.

MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan MyCuepacsCare, K. Palanisamy dan Presiden GAKUM, Zulkifli Mohamad dalam majlis di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini.

Menurut Zulkifli, pihaknya menyasarkan sehingga 50,000 penjawat awam di universiti memiliki pelan perlindungan takaful sama ada secara individu atau bersama keluarga.

Katanya, harga yang ditawarkan hanya RM85 sebulan, lebih murah berbanding kadar yang dikenakan oleh pihak luar.

“Pelan yang ditawarkan adalah cukup baik dan mempunyai banyak faedah untuk kakitangan awam bagi menjaga kebajikan mereka.

“Ini adalah usaha kami menyahut seruan kerajaan supaya lebih ramai penjawat awam mempunyai perlindungan takaful,” katanya.

Sementara itu, Palanisamy berkata, sehingga kini, hanya 20 peratus daripada 1.7 juta kakitangan awam di negara ini memiliki perlindungan takaful.

Katanya, tahap kesedaran dalam kakitangan awam mengenai kepentingan perlindungan takaful semakin meningkat setiap tahun namun ramai yang tidak menyertainya disebabkan caruman atau sumbangan bulanan yang dianggap tinggi.

“Aktiviti promosi dan kempen menemui penjawat awam perlu dipertingkatkan supaya setiap kakitangan awam mempunyai perlindungan takaful,” katanya. - UTUSAN ONLINE