Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, tanggapan kononnya perkhidmatan kebombaan terhad kepada kerja-kerja memadam kebakaran perlu dikikis kerana sentuhan kaum hawa turut diperlukan terutama dalam menangani keadaan trauma dan bencana alam.

Katanya, ketika ini dianggarkan lebih 200 wanita berada dalam perkhidmatan itu daripada keseluruhan 14,000 anggota di seluruh negara.

“Bilangan kita masih jauh lagi, jadi saya nak lebih banyak wanita akan menjadikan bomba sebagai kerjaya mereka.

“Di Terengganu, misalnya hanya ada 13 pegawai dan anggota wanita daripada keseluruhan 731 kakitangan, maksudnya tidak sampai satu peratus dan keadaan itu secara purata sama di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran bersama Sedia Urus Suri Rumah (Suri) di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE