Menurut anak ketiganya, Amanda Ruhul Hamidah, 40, sejak kecil lagi bapanya mendidik mereka adik-beradik dengan penuh ketegasan bagi memastikan setiap daripada mereka berjaya dan peroleh kejayaan hidup.

“Dia seorang ayah yang penyayang dan saya sifatkan beliau seorang yang bertanggungjawab dengan setiap jawatan yamg pernah beliau pegang dahulu,” ujarnya ketika ditemui di ke Masjid Saidina Umar, Bukit Damansara di sini hari ini.

Tambah Amanda, bapanya tidak pernah menunjukkan sebarang petanda awal yang beliau akan pergi buat selama-lamanya.

“Dia memang ada sakit sebelum ini, tetapi semalam buat pemeriksaaan kesihatan keadaan dia baik-baik sahaja,” ujarnya.

Allayarham dipercayai meninggal secara tiba-tiba ketika ingin mengerjakan solat subuh kira-kita pukul 6 pagi di kediaman anaknya di Pantai Dalam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu,Puan Seri Nila Inangda Manyam Keumala
dan tujuh anak terdiri daripada empat perempuan dan tiga lelaki.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Saidina Umar, Bukit Damansara dan disembahyangkany selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Sementara itu, kenalan rapat Allayarham yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharom, menyifatkan beliau ibarat seperti seorang guru yang sentiasa mengajar dan mendidiknya dalam kehidupan sebagai seorang ahli politik.

“Saya kenal arwah sejak 1979 lagi, arwah sentiasa berikan nasihat dan tunjuk ajar kepada saya dan rakan-rakan lain.

“Beliau juga seorang yang bertanggungjawab ketika memegang jawatannya dahulu dan disifatkan sebagai pemimpin yang mudah didekati,” ujarnya.

Allahyarham sebelum ini dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada tahun 1981 sewaktu berumur 38 tahun dan sebagai Menteri Pertanian pada tahun 1986.

Beliau juga merupakan Naib Presiden UMNO Malaysia pada tahun 1990 bagaimanapun pada tahun 2008, beliau keluar dari UMNO.-UTUSAN ONLINE

ORANG ramai memenuhi perkarangan Masjid Saidina Umar, Bukit Damansara bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allayarham Sanusi Junid.-UTUSAN ONLINE