Senario itu kini menjadi salah satu faktor penyumbang kepada barangan mentah dan keperluan orang ramai gagal dikawal dan melonjak tinggi selain kewujudan orang te­ngah dan beberapa punca lain.

Menurut sumber, keadaan itu bukan sahaja akan menambah beban pengguna malah petani, penternak dan nelayan memandangkan golongan war­­ga asing itu akan menjadi perantaraan serta penentu harga pasaran.

“Sebenarnya harga ladang bagi hasil pertanian petani tidak begitu mahal, tetapi apabila tiba di pasar harga ditawarkan begitu melampau, jauh daripada harga ladang. Yang akan tanggung beban harga adalah pengguna, manakala petani pula te­rus ‘sakit’ de­ngan harga ladang yang jauh begitu rendah.

“Kita faham peraih ambil keuntungan bagi menampung kos seperti pengangkutan, tetapi bila peniaga warga asing perlu menanggung kos sewa yang tinggi, maka tidak hairanlah harga barangan dijual akan dinaikkan” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu, peniaga warga asing sanggup membayar sewa de­ngan kadar antara RM10,000 dan RM15,000 untuk satu lot di pasar sedangkan pemilik asal (orang tempatan) hanya perlu membayar sewa kepada pihak pengurusan sekitar RM2,000 sahaja.

“Sebab itu pemilik asal ini sanggup ali babakan tapak mereka, dapat duit mudah, duduk rumah tidak perlu berniaga, hanya makan untung atas angin.

“Maka persaingan antara peniaga asing dengan tempatan akan berlaku. Pemilik lot akan mengutamakan penda­tang asing berkenaan disebabkan kebolehan mereka menjana keuntungan luar biasa lebih-lebih lagi dalam menjerat pelanggan dalam pelbagai urusan jual beli.

“Apabila sudah mendapat tapak, secara automatik mereka boleh menaikkan harga selain memanipulasi sukatan serta timbangan barang sesuka hati,” katanya.

Tambahnya, peniaga atau tauke warga asing terbabit juga licik, apabila ada operasi penguatkuasaan, mereka akan mendakwa sebagai pekerja.