Usahkan hendak didakwa di mahkamah, sehingga kini masih belum ada sebarang tangkapan terhadap si pelaku walaupun terdapat 99 individu telah ditahan reman berkaitan kes rusuhan tersebut termasuklah empat lelaki yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Jika adapun pendakwaan, semuanya membabitkan kesalahan merusuh, menghalang tugas polis dan mencederakan pihak berkuasa serta orang awam.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mendedahkan pihaknya telah memanggil 38 orang saksi termasuk empat individu yang disiasat mengikut Seksyen 307 itu bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian itu.

Namun, masih tiada sebarang petunjuk bahawa si pelaku akan ditangkap dan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat. Pem­belaan nasib malang Muhammad Adib masih samar-samar dan mengundang 1,001 persoalan.

Menurut sumber, kejadian tersebut hampir sebulan berlaku dan sepatutnya pembunuh Muhammad Adib sudah boleh dikenal pasti dan ditangkap.

Adakah wujud campur tangan luar dalam siasatan kes itu? Perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku. Proses siasatan dalam apa jua kes jenayah tidak sepatutnya mendapat campur tangan mana-mana pihak terma­suklah pihak atasan.

Menyingkap insiden malang itu, Allahyarham tiba di lokasi kejadian bersama rakannya yang lain untuk memadamkan api yang sedang marak membakar kenderaan di kuil terbabit pada awal pagi, 27 November lalu.

Malangnya, kumpulan perusuh bertindak ganas dan menyerang jentera bomba termasuk memukul mangsa yang sepatutnya menamatkan zaman bujangnya Jumaat lalu hingga mengakibatkan kecederaan parah di bahagian badan dan paru-paru.

Memang benar, ini bukan drama yang semuanya selesai dalam tempoh sejam atau dalam episod akan datang namun sehingga bila ahli keluarga, tunang dan warga bomba serta seluruh rakyat Malaysia perlu menunggu penamatnya atau adakah akan ada pengakhiran dalam kisah Muhammad Adib ini.