Dalam satu kenyataan bersama, menurut mereka, keputusan itu bermakna satu lagi legasi toksik diwujudkan bagi generasi masa depan dengan tambahan kepada sisa radioaktif berbahaya sedia ada yang disimpan di Banjaran Kledang, Perak daripada kilang Asian Rare Earth.

Tambahnya, keputusan itu dibuat kerajaan berikutan kenyataan kerajaan Australia dan kerajaan negeri Australia Barat kepada yang tidak akan menerima sisa radioaktif Water Leach Purification (WLP) daripada Lynas dihantar semula ke sana.

Katanya, perkara itu jelas menunjukkan kerajaan Australia menganggap sisa Lynas amat toksik untuk diterima.

"Sudah tentu, apa yang menjadi ancaman yang tidak dapat diterima oleh rakyat Australia dan alam sekitar juga seharusnya dianggap ancaman yang sama kepada kesihatan penduduk dan alam sekitar di Malaysia.

"Sebaliknya, dengan membenarkan Lynas untuk meneruskan operasinya, negara ini sekali lagi menjadi tempat pembuangan bagi sisa radioaktif, yang akan kekal berbahaya untuk generasi akan datang.

"Ini memandangkan thorium dan uranium dalam sisa WLP mempunyai jangka hayat yang panjang sehingga berjuta dan berbilion tahun," katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan PH juga perlu memberi penjelasan berhubung tempoh masa dan proses bagi pemindahan sisa radioaktif Lynas ke Fasiliti Pelupusan Kekal (PDF) serta sama ada syarikat tersebut akan menanggung kos secukupnya bagi menangani pelupusan sisa itu.

Dalam masa sama, ujarnya, penjelasan juga dituntut berhubung tempoh yang lama sebelum operasi 'cracking and leaching' dipindahkan keluar daripada kilang Malaysia.

"Kami sekali lagi mengulangi gesaan agar operasi Lynas digantung sehingga isu ini diselesaikan dengan sempurna dan telus," katanya. - UTUSAN ONLINE