Pelbagai masalah berlaku di kawasan yang menjadi tempat mereka berteduh sepanjang  mencari rezeki di negara ini. Persoalannya apakah rumah kongsi sedia ada di negara ini perlu dikekalkan, sedangkan di negara lain tidak lagi dibenarkan? Apakah masalah sebenar rumah kongsi? Dan apa pula ancaman kawasan tersebut kepada rakyat Malaysia? Wartawan Mingguan Malaysia NORAZRIN MARZUKI, MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI, LILIS SURIANI OMAR dan jurugambar AZLAN HADI ABU BAKAR mendedahkan masalah itu yang sepatutnya mendapat perhatian semua pihak.

 

KUALA LUMPUR 4 Julai - 'Lubuk' jenayah dan menjijikkan, Mungkin itulah yang boleh disimpulkan apabila memperkatakan mengenai rumah kongsi yang menjadi kediaman warga asing di tapak projek pembangunan di negara ini.

Tinjauan wartawan Mingguan Malaysia mendapati, rumah kongsi itu berhadapan dengan pelbagai masalah yang sekali gus menjejaskan kehidupan rakyat negara ini secara tidak langsung. Apa yang paling membimbangkan, kegiatan jenayah berlaku di kawasan berkenaan.

Sumber memberitahu, rumah kongsi menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap untuk ‘memungut hasil’. Majikan diugut, pekerja dipaksa. Itulah yang berlaku. Keadaan ini yang menyebabkan warga asing yang berada di situ hidup dalam keadaan tertekan biarpun nampak tenang.

“Wang perlindungan akan diberikan kepada kongsi gelap tertentu bagi mengelakkan pekerja tersebut diganggu, malah ada ketika kumpulan samseng akan memaksa mereka melakukan perbuatan menyalahi undang-undang termasuk berjudi,” kata sumber tersebut kepada Mingguan Malaysia.

Selain itu, sumber berkenaan mendedahkan, rumah kongsi juga menjadi ‘lubuk’ kepada segelintir anggota agensi penguat kuasa untuk melakukan peras ugut ke atas warga asing dengan pelbagai alasan.

“Anggota itu sengaja mencari kesalahan warga asing. Kalau warga asing itu tidak mempunyai permit, mereka akan datang setiap bulan untuk mengutip wang perlindu­ngan. Walaupun kes seumpama ini tidak banyak, tetapi ini tetap membuktikan keburukan rumah kongsi.

“Kita percaya jika warga asing mempunyai permit dan ditempatkan di rumah yang disediakan oleh majikan, sudah pasti gejala itu tidak berlaku. Tetapi sekarang difahamkan sebahagian besar rumah kongsi turut menjadi ‘rumah perlindu­ngan’ kepada pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Turut menjadi perhatian, bagaimana rumah kongsi juga dibelenggu de­ngan masalah kekotoran yang amat serius. Tinjauan mendapati sesetengah rumah kongsi terlalu kotor dan tidak sesuai didiami.

“Bagaimanapun sesetengah majikan tidak mempedulikan soal tersebut, sebaliknya merasakan tindakan itu wajar bagi menjimatkan kos tanpa memikirkan kesan lebih besar kepada penduduk tempatan.

“Saya fikir kerajaan perlu bertegas dalam soal ini, sudah tiba masa­nya tapak pembinaan tidak boleh lagi dibenarkan ada rumah kongsi kerana membawa banyak masalah khususnya bagi masyarakat setempat,” kata seorang bekas pegawai kanan kerajaan ketika dihubungi.