Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) RTM, Datuk Adilah Shek Omar berkata, era pendigitalan RTM yang dijangka bermula sekitar suku pertama tahun depan, akan membolehkan badan penyiaran kerajaan itu mempelbagaikan kandungan serta menambah saluran bagi mencapai penonton lebih tinggi.

“Pada masa ini, RTM ada tiga saluran iaitu TV1, TV2 serta TVi, dan selepas pendigitalan, penambahan empat lagi saluran baharu menjadikan tujuh semuanya.

“RTM juga akan menyediakan aplikasi interaktif di semua saluran menjadikan ia lebih menarik, di samping menyediakan platform mudah alih di mana saluran RTM boleh ditonton menerusi tablet dan telefon pintar,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis RTM to the Next Level Media Screening 2016, di sini hari ini.

Adilah berkata, pendigitalan RTM akan membuka peluang lebih luas kepada penggiat seni tanah air untuk kandungan kreatif dihasilkan mereka, disiarkan dan memberi capaian yang luas kepada pengiklan dalam mempromosi produk mereka.

Sementara itu, Pengarah Media Digital Interaktif RTM, Muhamad Lukman Kamari berkata, proses percubaan siaran digital stesen televisyen itu masih berjalan, yang mana pada masa ini, ia tertumpu di Pantai Timur.

Beliau berkata, proses percubaan sama, kemudiannya akan dilakukan di Sabah dan Sarawak sebelum ke negeri lain di Semenanjung.

“Kita jangkakan sehingga 85 peratus populasi negara ini akan dapat menerima akses siaran digital RTM menerusi dekoder yang akan diedarkan atau dijual,” katanya.

Majlis media screening hari ini merupakan acara tahunan bagi menerangkan kepada pengiklan dan agensi media mengenai perancangan program-program RTM pada tahun depan.Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.– BERNAMA