Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Michael Jeyakumar Devaraj berkata, mereka yang menerima notis notis pengusiran pada 5 Julai lalu, telah diarahkan untuk mengosongkan tanah berkenaan dalam masa 14 hari walaupun ia telah diterokai kira-kira 50 tahun lalu.

"Kita menerima baik hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menghadiahkan tanah buat skuad bola sepak negeri atas kemenangan mereka tetapi mengapa perlu rampas tanah pertanian yang diusahakan mereka sebagai punca rezeki?

"Oleh itu, kita mencadangkan kepada Menteri Besar supaya membatalkan RPT Piala Malaysia 2018 di kawasan tersebut atau menawarkan tanah lain kepada mereka bagi menjalankan kegiatan pertanian," katanya.

Jeyakumar berkata demikian ketika ditemui hari ini selepas turut hadir bersama petani-petani berkenaan bagi mengemukakan permohonan pemilikan tanah tersebut di Pejabat Daerah dan Tanah Ipoh selepas tiada sebarang tawaran tanah gantian diterima sehingga kini.

Kawasan seluas 10 hektar di Ulu Chemor dalam Mukim Ulu Kinta itu kini diusahakan dengan tanaman seperti jagung, terung dan sayur-sayuran.

Dalam pada itu, Jeyakumar mendakwa, satu mesyuarat penyelarasan usaha haram berkenaan telah dipanggil oleh Pejabat Daerah dan Tanah Ipoh melibatkan petani-petani tersebut buat julung-julung kalinya pada 5 September lalu.

"Namun begitu, mereka (petani) mendapat panggilan bahawa mesyuarat itu telah ditunda ke satu tarikh lain," katanya. - UTUSAN ONLINE