Kedua-duanya merupakan motosikal enjin silinder berkembar pertama dikeluarkan oleh Royal Enfield.

Interceptor INT 650 Twin adalah model sporster dan Continental GT 650 Twin pula, cafe racer.

Dua model ini dibina di kilang di India dengan sentuhan tenaga pakar pusat teknikal canggih Royal Enfield di Bruntingthorpe, United Kingdom.

Ketua Perniagaan Royal Enfield bagi Wilayah Asia Pasifik, Vimal Sumbly berkata, enjin silinder berkembar merupakan produk global pertama yang akan memainkan peranan strategik bagi menawarkan pilihan baharu kepada pemilik jentera ini di Malaysia dan seluruh dunia.

“Sehingga tahun lalu, kira-kira 820,000 buah motosikal Royal Enfield berjaya dijual di seluruh dunia.

“Kejayaan ini adalah hasil fokus kami untuk menghasilkan jentera yang mudah, mesra, menarik dan canggih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Interceptor INT 650 Twin dan Continental GT 650 Twin di sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan Chear Motor Resources, Datuk Chear Kin Keong.

Interceptor INT 650 Twin dijual pada harga RM44,200 manakala Continental GT 650 Twin, RM46,500 bagi model Standard.

Bagi model Custom dan Chrome pula masing-masing berharga RM44,500 dan RM44,800 (Interceptor INT 650 Twin) serta RM46,900 dan RM47,200 (Continental GT 650 Twin). - UTUSAN ONLINE