Tegas isteri Perdana Menteri itu, segala usaha dan kudrat yang disumbang selama ini tidak sedikit pun dibuat untuk kepentingan peribadi sebaliknya semata-mata demi pembangunan anak-anak pewaris negara.

“Pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas Permata Negara dan saya selaku penaung. Kononnya saya mendesak kerajaan menambah peruntukan Permata serta menyalahgunakan wang itu untuk kepentingan sendiri sehingga timbul desakan untuk saya meletak jawatan.

“Tetapi tak apalah. Walau pedih di hati, saya biarkan saja bagai angin lalu demi anak-anak bangsa kerana saya yakin bantuan Allah akan sentiasa bersama orang yang berniat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Anak Permata Negara di Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kuah di sini, hari ini.

Hadir sama Isteri Menteri Besar, Datin Seri Hizam Awang Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi serta Sumber Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd. Noor serta Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Azizan Noordin.

Mengulas lanjut katanya, selaku isteri Perdana Menteri, beliau boleh saja duduk di rumah atau sekadar mengiringi suaminya ke sana sini namun sebagai seorang insan, beliau terpanggil untuk menyumbang kepada negara khususnya buat anak-anak pewaris kepemimpinan negara.

“Saya berpegang teguh dengan prinsip bahawa setiap kanak-kanak merupakan aset negara dan mereka berhak mendapat peluang sama rata untuk membesar sebagai kanak-kanak ceria serta menjadi sebahagian daripada modal insan negara. Atas dasar itu, saya gagahkan diri, nekadkan iltizam dan teruskan perjuangan murni ini.

“Jelas sekali, Permata Negara adalah manifestasi kerajaan yang berjaya lagi sarat dengan manfaat dan disebabkan itu, janganlah kita termakan dengan berita-berita palsu berhubung perkara ini. Janganlah kerana kerakusan kuasa, kita sanggup membunuh masa depan anak-bangsa sendiri,” katanya.