Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pendirian Malaysia tidak berganjak iaitu menyokong masyarakat Rohingya yang ditindas dan mendesak pi­hak berkuasa Myanmar supaya menghentikan kekejaman yang di luar batas perikemanusiaan.

Beliau berkata, pihaknya percaya jika sesuatu bantahan itu dilakukan secara berterusan, ia mampu mendatangkan hasil iaitu mendesak agar kekejaman terhadap etnik Islam Rohingya segera dihentikan.

“Kerajaan Melaka bukan sekadar bercakap tetapi pada perhimpunan ini, kita turut melancarkan tabung ‘Demimu Rohingya’ yang saya lihat satu permulaan yang baik iaitu berjaya mengumpul sejumlah RM280,000.

“Untuk mencampuri urusan di Myanmar dengan menghantar pasukan mungkin di luar jangkauan, tetapi kita akan mendesak melalui pertubuhan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mereka dapat memainkan pera­nan menghalang keganasan di negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Aman Bagi Membela Masyarakat Islam Rohingya peringkat negeri yang dihadiri lebih 10,000 orang di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Perhimpunan yang julung kali diadakan anjuran kerajaan nege­ri Melaka itu mendesak semua pihak untuk bergabung tenaga memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya menghentikan kezaliman terhadap etnik Rohingya.

Pada perhimpunan itu, Idris turut membacakan sajak nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang bertajuk Kemanusiaan dan melancarkan tabung kutipan Demimu Rohingya peringkat kerajaan negeri Melaka.

Idris yang juga Presiden Pertubuhan Belia Sedunia (WAY) bagi penggal 2014-2018 turut membidas sikap pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi yang tidak menunjukkan ciri-ciri serta sifat perikemanusiaan apabila bersikap dolak-dalik serta membenarkan keganasan berla­ku di bawah kerajaan Myanmar pimpinannya itu.