Salah seorang yang ditahan ialah Ahli Jawatankuasa Keselamatan Jaringan Komuniti Orang Asli Kampung Cunex, Zaiman Long, 36.

Sementara itu, dua lagi yang ditahan ialah Jamal Endi, 38 dan Mohamad Nazreen Bah Dadu, 22, masing-masing dari Kampung Sungai Melela 2 dan Kampung Sungai Urat, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala, Gerik.

Kesemua mereka ditahan ketika sekatan Orang Asli terdiri daripada halangan manusia membabitkan 25 individu itu dirobohkan oleh syarikat pembalakan, Sedia Visijaya Sdn Bhd melibatkan lima pekerjanya pada pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Ismail Che Isa berkata, penyelia pembalakan syarikat tersebut telah membuat laporan polis sebanyak dua kali iaitu pada 17 dan 19 Julai lalu kerana tidak berpuas hati dengan sekatan Orang Asli di laluan masuk kerja-kerja pembalakan.

Beliau berkata, ia berikutan syarikat berkenaan telah dibenarkan oleh kerajaan negeri untuk melakukan pembalakan melibatkan tapak seluas 42 hektar di kawasan Sungai Papan.

"Pada 18 Julai lalu , penyelia pembalakan bersama lima pekerjanya telah membawa dua jentolak berantai bagi merobohkan sekatan 45 Orang Asli, namun, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak dan Kedah, Hairul Nizam Abd Rahman telah meminta supaya ia ditangguhkan bagi membuka peluang kepada rundingan.

"Namun begitu, melalui rundingan yang diadakan di Ipoh pada 19 Julai lalu, Orang Asli tetap dengan pendirian untuk mempertahankan sekatan berkenaan atas alasan kawasan pembalakan tersebut ialah wilayah adat dan tanah rayau mereka," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, ketiga-tiga individu berkenaan yang ditahan bagaimanapun telah dibebaskan pada pukul 12.30 tengah hari selepas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik selesai menjalankan proses dokumentasi. - UTUSAN ONLINE