Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu berdasarkan unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan melibatkan penyakit utama seperti kanser paru-paru, penyakit paru-paru kronik dan masalah jantung koronari.

“Kos rawatan tersebut adalah bebanan kepada negara dan ia dijangka boleh berlaku jika prevalen atau kelaziman merokok dalam kalangan penduduk negara ini tidak berkurangan.

“Melalui satu kajian, prevalen merokok dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 15 tahun menurun kepada 14.8 peratus (2016) berbanding 20.2 peratus pada 2003 namun prevalen merokok dewasa masih tinggi dengan anggaran 5 juta orang berumur 15 tahun ke atas merokok,” katanya.

Beliau yang diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Konvensyen Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong; Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Penilaian) Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan, Dr. Latip Muhammad dan Pengarah Kesihatan Melaka, Dr. Rushidi Ramly. - UTUSAN ONLINE