Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, peruntukan itu bagi memastikan tahap profesionalisme warga pendidik sentiasa berada pada tahap terbaik.

Rina malah berkata, dengan peruntukan tersebut, beliau mahu melihat usaha itu bukan sekadar untuk meningkatkan kemahiran dan profesionalisme semata-mata tetapi turut memberi fokus dalam membentuk sahsiah, keperibadian dan jiwa pendidik dalam kalangan golongan tersebut.

“Saya mahu anak-anak pelajar Mara yang dilahirkan daripada institusi pendidikan Mara mempunyai tahap didikan yang tinggi bukan sahaja aspek pelajaran tetapi juga dari segi sahsiah diri yang murni dan boleh membanggakan Mara, kementerian dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Pendidik Mara 2019 di sini hari ini.

Sambutan Hari Pendidik Mara diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa warga pendidik agensi itu dalam meningkatkan profesion sebagai pendidik demi mengangkat martabat bangsa dan negara.

Pada majlis tersebut, seramai 25 warga pendidik di bawah agensi itu menerima Anugerah Pendidik Cemerlang Mara 2019.

Rina turut menyampaikan Anugerah Tokoh Pendidikan Mara 2019 kepada bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara, Datuk Azmi Mohamad yang pernah berkhidmat sebagai guru Mara selama 36 tahun. - UTUSAN ONLINE