Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, tender bagi projek Makmal Patologi HSA berkenaan kini sudah dibuka semula dan diserahkan kepada syarikat kontraktor yang berwibawa bagi meneruskan pembinaan kemudahan tersebut.

Katanya, kerajaan negeri kini akan lebih berhati-hati dan tegas dalam soal melantik syarikat pembinaan untuk menguruskan tender pembangunan di negeri ini bagi mengelakkan lebih banyak projek terbengkalai.

"Kerajaan negeri ingin mengingatkan kepada syarikat pembinaan untuk lebih serius dalam perniagaan dan memastikan pengurusan kewangan, pentadbiran dan kekuatan kakitangan benar-benar berkemampuan untuk menguruskan tender kerajaan.

“Bila kita menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka tetapi ada syarikat yang terlibat telah sub projek yang diperolehi kepada syarikat lain dan keadaan ini sekali gus menimbulkan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Mohd. Solihan berkata, selain Makmal patologi tersebut, turut terbengkalai adalah pembinaan jambatan di Plentong bernilai RM21 juta dan dua projek pembinaan di dua buah sekolah di Taman Perling bernilai lebih RM20 juta.-UTUSAN ONLINE