Mereka berdua dari Kampung Seberang Takir bersama rakan pemandu bot penambang lain akan beroperasi setiap hari seawal pukul 7 pagi hingga ke malam membawa penum­pang berulang alik dari jeti Seberang Takir ke jeti Taman Syahbandar berhampiran Pasar Besar Kedai Payang.

Dengan tambang ala kadar antara 50 sen hingga RM1 setiap seorang untuk sehala, mereka

HARUN ISMAIL
HARUN ISMAIL 

hanya berpuas hati memperoleh antara RM15 hingga RM20 sehari.

Menurut Azmi, sejak usianya belasan tahun lagi dia sudah menjinakkan diri dengan membantu bapanya mengendalikan bot penambang sehinggalah sekarang malah, hasil penat lelahnya yang mengambil masa antara lima hingga 10 minit ke destinasi umpama kais pagi makan pagi.

Dia mengakui rezeki diperoleh bertambah sekali ganda apabila tiba musim cuti pera­yaan atau persekolahan, namun pendapatan sebanyak itu masih belum cukup apatah lagi ketika kos sara hidup semakin meningkat.

“Itulah hakikat ke­hidupan pemandu bot penambang se­perti kami pada masa ini jika dibandingkan puluhan tahun lalu. Tidak dapat tidak, kami mesti harungi juga kepayahan ini demi segenggam nasi dan seteguk air untuk kami sekeluarga.

“Mungkin juga ada hikmah­nya, keluarga kami tak besar. Saya dan isteri, Nasiah Mat Taib, 52, hanya dikurniakan seorang anak, dan anak perempuan kami ini sudah pun berusia 25 tahun. Tapi bagaimana mereka yang ada tanggungan besar de­ngan anak ramai,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Keluhan Azmi turut dikongsi teman sekerjanya, Harun yang tetap setia dengan pekerjaan hakikinya.

Bagi bapa kepada sembilan anak itu, dua daripadanya masih bersekolah tetap berbangga dan bersemangat mencari rezeki menjadi pemandu bot penambang.

Dia yang kematian isteri, Fatimah Salleh tahun lalu berkata, semangatnya tidak pernah luntur untuk meneruskan pencarian rezeki halal hasil tulang empat keratnya bagi menyara keluarga terutama dua anaknya masih di sekolah rendah.

“Keadaan sekarang semakin terdesak, tambang bot penambang sejak dulu lagi RM1 satu kepala hinggalah sekarang tak naik-naik. Sedangkan sekarang harga barang mahal dan beban kos sara hidup makin meningkat. Dapat RM20 sehari mana cukup sara keluarga.

“Ini belum lagi jambatan gantung dekat muara itu yang masih dalam pembinaan. Saya percaya kalau siap nanti (jambatan atau draw bridge), makin sukarlah kami mencari rezeki,” luah Harun.

Sebelum mengakhiri temu bual, bapa tunggal itu sempat meluahkan rasa terkilan kerana dia dan rakan-rakan lain tidak lagi menerima elaun sara hidup sebagaimana disediakan kerajaan sebelum ini.