RISDA Estate yang sebelum ini dikenali sebagai ESPEK Sdn. Bhd. meraih tempat pertama dalam kategori modal berbayar berjumlah RM5 juta dan ke atas manakala RISDA Fleet menang bagi kategori modal berbayar kurang daripada RM5 juta.

Bagi kategori modal berbayar berjumlah RM5 juta dan ke atas, hadiah tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh KETENGAH Perwira Sdn. Bhd. dan Permodalan RISDA Berhad, manakala bagi kategori modal berbayar kurang daripada RM5 juta, tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh FELCRA Niaga Sdn. Bhd. dan FELCRA Processing & Enginee­ring Sdn. Bhd.

Syarikat MARA Liner Sdn. Bhd. (MARA Liner), pula me­nerima Anugerah Khas YB Menteri, anugerah yang baharu diper­kenalkan sebagai penghargaan terhadap lonjakan prestasi dan penglibatan dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Majlis penyampaian hadiah di­sempurnakan oleh Menteri K­KLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Hotel Premiera di sini semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKLW Datuk Borhan Dollah dan pengurusan tertinggi anak-anak syarikat di bawah kementerian itu.

Sebanyak 91 syarikat di bawah KKLW dipertandingkan dalam anugerah berkenaan pada tahun lalu yang mengambil kira penilai­an prestasi syarikat berdasarkan margin keuntungan, nisbah kewangan, dividen, tanggungjawab sosial dan petunjuk prestasi utama (KPI).

Ismail Sabri ketika merasmikan majlis itu berkata, cabang perniagaan anak-anak syarikat di bawah KKLW perlu dikekalkan dengan memberi keutamaan kepada perniagaan utama untuk memastikan matlamat penubuhan tercapai dan tidak tersasar.

“Kita perlu beri tumpuan kepada bidang yang kita mempunyai kepakaran dan kemahiran.

“Ini termasuk memberi fokus kepada industri hiliran bersesuai­an untuk melengkapkan ekosistem yang menyeluruh,’’ katanya.

Katanya, syarikat juga perlu merangka strategi jangka panjang khususnya dalam menghadapi perubahan ekonomi yang menuju ke arah ekonomi digital.

“Kita perlu mewujudkan mo­del perniagaan bersesuaian termasuk mengambil kira hala tuju meliputi pelbagai dimensi perniagaan.

“Inovasi dan kreativiti syarikat memain peranan penting untuk kekal bersaing dan relevan. Saya berharap anak-anak syarikat dapat mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran baharu perniagaan,’’ katanya.