Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kajian telah dijalankan bersama Lembaga Getah Malaysia terhadap pengeluaran protein daripada pokok getah yang boleh dijadikan serum dan dijangka mampu meningkatkan pendapatan penoreh tiga kali ganda berbanding sekarang.

"Kita hampir siapkan serum ini dan projek hiliran yang diwujudkan oleh RISDA ini adalah untuk membantu meningkatkan harga getah yang berdepan dengan ketidakstabilan harga," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kasihi Pekebun dan Perasmian Pusat Servis Tayar Risda Fleet Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zahidi berkata, dalam usaha membantu pekebun kecil, RISDA turut mencari pendekatan baharu misalnya mewujudkan Pusat Servis Tayar Risda Fleet yang pertama di Pokok Sena untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pekebun kecil.


Video oleh ISMAIL KAMADIN

"Di pusat servis ini, harga tayar yang ditawarkan 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di luar. Kita turut menjual alat ganti kereta dan minyak hitam dengan harga lebih murah kerana kita ingin membantu meringakan bebanan golongan yang kurang berkemampuan," katanya.

Kerajaan katanya, telah memperuntukkan RM40 juta setahun bagi membantu RISDA mengembangkan lagi perniagaan yang ingin diceburi pekebun kecil.

"RISDA mempunyai program usahawan yang mana sebanyak RM20,000 hingga RM50,000 geran akan diberikan. Seramai 11,000 usahawan telah berjaya dilahirkan oleh RISDA merangkumi pelbagai perniagaan," katanya.

Terdahulu, Zahidi menyampaikan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah sebanyak RM500 seorang kepada 300 penerima, terdiri daripada pekebun kecil dan penoreh getah bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka susulan kejatuhan harga getah di pasaran.

"Jumlah keseluruhan bantuan yang diperuntukan bagi Kedah adalah sebanyak RM33.56 juta dan diharap ia dapat meringankan bebanan pekebun kecil dan penoreh getah yang terlibat," katanya. - BERNAMA