Masjid terlibat antaranya Masjid Rhu Muda di Marang yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang seterusnya menyampaikan ceramah beliau di situ selepas solat Jumaat.

Himpunan turut diadakan di pekarangan Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Ladang; Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang; Masjid Tok Ku Tuan Besar, Masjid Banggol Peradong.

Begitu juga di pekarangan Masjid Pasir Minal di Kemaman; Masjid Pekan Ajil, Hulu Terengganu; Masjid Batu Rakit, Masjid Tok Ku Paloh dan Masjid Pengadang Baru sekitar daerah ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam ucapannya berkata, seluruh umat Islam wajib mempertahan serta membela Nabi Muhammad SAW daripada dihina sebegitu rupa oleh bangsa lain.

"Nabi Muhammad adalah segalanya bagi umat Islam dan sebagai menunjukkan rasa kasih sayang kepada Baginda, kita wajib mengutuk dan bertindak terhadap penghinaan ini.

"Tak ada ertinya bagi kita umat Islam jika kita tak ada perasaan, marah, sakit hati, terguris atau rasa kesal apabila Rasulullah yang kita sayangi dihina begini," katanya ketika berucap di pekarangan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini.

Beliau berkata, meskipun umat Islam diselubungi perasaan marah yang membuak-buak akibat penghinaan terhadap Rasulullah itu, himpunan diadakan secara aman tanpa insiden tidak diingini berlaku atas sikap serta tanggungjawab menghormati undang-undang.

"Walaupun perasaan marah membuak-buak kerana tidak setuju dan tak selesa dengan penghinaan ini, kita masih mampu berhimpun secara aman dan tunjukkan kasih sayang kita pada Islam. Inilah Islam kita yang diajar Rasulullah," ujarnya. - UTUSAN ONLINE