Pengarahnya Ir. Dr. Fadzil Mat Yahaya berkata keputusan untuk meneruskan semula program itu wajar dipertimbangkan berikutan keputusan terkini kerajaan meneruskan pelaksanaan projek ECRL dengan perubahan pada kos dan laluan asal.

Katanya, program yang dilaksanakan bermula 2017 itu juga direka khusus untuk memberi pendedahan yang menepati keperluan pembangunan ECRL kepada rakyat tempatan.

“Projek ini memberi peluang kepada generasi muda melibatkan diri dalam projek berimpak tinggi dan mempelajari pengetahuan baharu industri rel sekaligus dapat melahirkan pekerja profesional serta berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut.

“Kita masih menunggu kata putus dari pihak penaja program iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) yang sebelum ini merupakan kontraktor utama ECRL,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Fadzil berkata sebelum program itu ditangguhkan atas permintaan kontraktor ekoran keputusan kerajaan untuk mengkaji semula projek ECRL, seramai 447 pelatih telah berjaya menamatkan latihan mereka.

“Jika terdapat keperluan daripada pihak kontraktor untuk meneruskan program, RIA bersedia untuk melaksanakannya berdasarkan keperluan semasa industri.

“RIA kini dalam proses menyusun dan merangka hala tuju untuk masa hadapan dengan mencari peluang keperluan latihan yang boleh ditawarkan berkaitan industri ini berdasarkan keperluan,” katanya.

Sementara itu, MRL dalam kenyataaannya berkata mereka sedang mengkaji semula objektif dan silibus program PLKI-ECRL dalam usaha meningkatkan jangkauan program kepada generasi muda tempatan yang berminat, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai status program itu. - BERNAMA