Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, MoU yang ditandatangani hari ini itu bertujuan mengukuhkan hubungan bilateral daripada aspek pendidikan antara kedua-dua negara selain memberi peluang pelajar-pelajar Indonesia meneruskan pengajian di negara ini selama lima tahun berturut-turut.

“Ini juga selaras dengan Pelan Pembangunan Malaysia Pendidikan Tinggi 2015 hingga 2025 iaitu mencapai sasaran 250,000 pelajar antarabangsa pada tahun 2025.

“Sebanyak 18 institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat dalam MoU itu antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM); Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten),” katanya di sini hari ini.

Jelas Kementerian Pendidikan, Majlis Dekan Pengajian Siswazah Universiti telah merangka pakej khas untuk para pelajar NTB yang berminat melanjutkan pengajian ke negara ini.

Di samping itu, Majlis Peperiksaan Malaysia turut memainkan peranan mengendalikan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) di Indonesia sebagai tanda kejayaan MoU tersebut. - UTUSAN ONLINE