Rewcastle Brown berkata, dia hanya menerima surat tuntutan yang dihantar melalui e-mel beberapa hari lalu yang menuntut sebanyak RM100 juta berhubung sebab kehilangan pendapatan.

“Artikel itu diterbitkan pada Disember 2015 di United Kingdom (UK) dan tidak diterbitkan di Malaysia kerana Sarawak Report diharamkan dan disekat oleh pentadbiran Barisan Nasional ketika itu. Artikel itu juga lulus daripada batas statutori untuk tidak dikategorikan sebagai fitnah di sana (UK).

“Saya tidak menerima writ rasmi daripada mana-mana pihak penguasa yang memerlukan maklum balas,” katanya seperti dipetik dalam portal Free Malaysia Today.

Sebelum ini, peguam Mabel, David Gurupatham memberitahu portal Malaysiakini bahawa Rewcastle-Brown sedang didakwa kerana tuduhan yang sangat serius yang ditimbulkan terhadap seorang anggota pentadbiran keadilan.

“Tuntutan itu ialah RM100 juta termasuk ganti rugi dan teladan terhadap Rewcastle-Brown, bersama-sama dengan perintah injuksi yang menyebabkan pencemaran nama baik, serta perintah mandatori untuk menghapuskan penyiaran artikel itu daripada laman web,” ujarnya.

Artikel Sarawak Report yang menjadi pertikaian itu bertajuk: ‘How AG’s Office connived to prevent a second post mortem on Kevin Morais-Exclusive expose’ (Bagaimana Pejabat AG bercanggah untuk menghalang post mortem kedua pada Kevin Morais-Pendedahan eksklusif).

Laporan itu mendakwa Mabel menghantar mesej teks kepada ahli keluarga mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais yang mendesak mereka untuk mempercepat pembakaran mayat mendiang bagi menghalang post mortem kedua.

Kematian Morais menggemparkan negara apabila sisa tubuhnya ditemukan di dalam tong selepas mendiang dikatakan diculik dari keretanya ketika dalam perjalanan untuk bekerja pada September 2015. -UTUSAN ONLINE