Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, parti itu mempunyai perjuangan cukup jelas malah memiliki objektif tersendiri dalam landasannya bagi membolehkan UMNO terus kekal hingga ke hari ini.

“Yang jelas di mana-mana tempat saya pergi mesyuarat di dalam khemah dan sebagainya kehadiran tidak pernah berkurangan. Waktu kita menang, waktu kita kalah, waktu kita dalam kerajaan dan di luar kerajaan menunjukkan kehadiran yang sama dan ini menunjukkan semangat perjuangan yang ada pada ahli parti.

“Semua tempat saya pergi dan saya tidak pernah dengar ada cawangan yang dibubarkan kerana ahlinya tidak cukup setelah melompat secara ‘end blok’. Tidak ada,” katanya seperti dipetik portal UMNO Online ketika berucap merasmikan merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta barisan pimpinan UMNO setempat, rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan rakan Taa’wun PAS.

Ismail menceritakan senario yang berlaku di Sabah sebelum ini dengan penghijrahan pimpinan bahagian mempunyai hikmah tersendiri.

“Sabah paling teruk berbanding dengan kita. Mula-mula UMNO membentuk kerajaan dan Tan Sri Musa (Tan Sri Musa Aman) sudah angkat sumpah sebagai Ketua Menteri tetapi akhirnya gugur setelah beberapa ADUN melompat keluar. Waktu itu kita fikir habislah UMNO di Sabah.

“Tetapi UMNO terus kekal dan Ketua-ketua bahagian lama kekal memimpin bahagian. Sekali lagi gelombang kedua yang berlaku apabila daripada 26 ketua bahagian, 23 daripadanya melompat dan meninggalkan parti untuk menyertai Bersatu dan sebagainya. Cuba bayangkan dan saya terus ke Sabah dan panggil mana-mana yang tinggal dan tidak keluar parti.

“Kalau diikutkan dari segi logiknya, dua kali ‘tsunami’ melanda mereka… tetapi apabila saya pergi baru-baru ini merasmikan mesyuarat perwakilan kedatangan tetap tidak berubah selain cawangan-cawangan tidak dibubarkan malah di kawasan Kimanis 500 ahli baharu yang memohon untuk menyertai UMNO,” katanya. - UTUSAN ONLINE