Dzulkifli Mahmud

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, kerjasama itu antaranya melibatkan beberapa dewan perniagaan, Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Bank), SME Corporation Malaysia (SME Corp), Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB).

“Kerjasama ini untuk memberikan maklumat tentang standard perniagaan yang perlu dipatuhi. Ini juga sebagai persediaan supaya mereka faham dan pada masa sama membantu mereka mengenal pasti peluang yang ada dalam pasaran di negara-negara terlibat dengan TPPA.

“Kita mempunyai 46 pejabat Matrade di luar negara yang boleh membantu mereka mendapatkan maklumat mengenai peluang perniagaan yang ada. Kita juga memiliki pejabat di Amerika Latin tetapi hanya di Chile dan Mexico,” kata­nya ditemui selepas majlis pene­rangan TPPA peringkat negeri, di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; timbalannya, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz.

Dzulkifli berkata, pengusaha PKS perlu mengambil kesempatan tersebut dan mereka tidak perlu rasa takut sebaliknya akan rugi kerana peniaga luar dari negara anggota TPPA tidak melepaskan peluang meninjau pasaran perniagaan di negara ini.

Menurutnya, bagi pengusaha PKS yang sudah melakukan eksport, apabila TPPA ditandatangani mereka perlu meningkatkan hasil perdagangan selain melihat potensi serta meneroka pasaran baharu di negara lain.

Beliau berkata, pihaknya sudah menganjurkan 150 program untuk membantu mereka antaranya memberi pendedahan tentang kelebihan e-Dagang dalam perniagaan selain menghubungkan mereka dengan pihak industri di luar negara.

Jelasnya, kebanyakan pengusaha dan syarikat yang terlibat de­ngan program itu sedar dan faham dengan penerangan, bimbingan serta panduan diberikan dan mereka disarankan supaya bersedia dan tidak terkejut apabila memasuki pasaran antarabangsa nanti.