Realme C2 amat sesuai bagi golongan yang mahukan sebuah gajet memenuhi keperluan pada harga rendah.

Model buatan syarikat dari China ini dibina dalam kerangka plastik dengan skrin HD+ berukuran 6.1 inci pada resolusi 720x1560 piksel yang dilindungi cermin Gorilla Glass 3.

Pengoperasian model ini dijana oleh prosesor MediaTek MT6762 Helio P22 dengan GPU PowerVR GE8320, dan berfungsi di atas platform ColorOS 6.0 yang dibangunkan berdasarkan Android 9.0.

Model Realme C2 mempunyai dua kamera belakang, dengan kamera utama berkekuatan 13MP f/2.2 dan kamera kedua 2MP f/2.4 bagi efek kedalaman. Perisian kamera turut dilengkapi dengan penggalak Chroma kepintaran buatan bagi mengoptimakan kualiti gambar yang diambil.

Di bahagaian hadapannya, terdapat sebuah kamera selfie 5MP yang dioptimakan dengan mod AI Portrait kepintaran buatan, yang diletakkan pada takuk kecil titisan air di skrin. Walaupun model ini tidak mempunyai pengesan cap jari, ia menyokong fungsi nyahkunci pengecaman wajah.

Model ini turut menyokong penggunaan dua kad sim nano serentak, di samping penggunaan kad memori sehingga saiz 256GB.

Bagi kuasa hayat pula, Realme C2 dikuasakan sebuah bateri 4,000mAh yang dicas semula menerusi sebuah port microUSB.

Model Realme C2 bagi pasaran Malaysia hadir dalam dua varian iaitu 2GB RAM dengan memori 16Gb pada harga RM429, dan 3GB RAM dengan memori 32GB pada harga RM499. Kedua-dua varian ini hadir dengan warna Diamond Blue dan Diamond Black.

Realme C2 boleh didapati di pasaran sekarang dan bagi pelanggan Shopee, anda boleh mendapatkannya di Kedai Rasmi Realme hari ini. - UTUSAN ONLINE