Rizani yang merupakan saksi ke-12 pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem itu berkata, beliau ketika itu hanya menunggu arahan pihak atasan dan mempunyai kekuatan yang cukup untuk bertindak.

Beliau berkata, segala maklumat mengenai penemuan kem tersebut telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Perlis pada 7 Mac iaitu sehari selepas beliau mengetuai kumpulan ke Bukit Wang Burma untuk menggali satu struktur tanah berbentuk kubur yang selepas itu disahkan terdapat mayat yang dikapankan di dalamnya.

“Semasa di atas Bukit Wang Burma, saya ketika itu sudah menelefon Ketua Polis Perlis untuk memaklumkan penemuan mayat. Selepas itu, saya diarahkan balik kerana misi hanya untuk mengesahkan kandungan struktur tanah yang menyerupai kubur.

“Pada pagi keesokan harinya, saya beri taklimat lagi kepada Ketua Polis Perlis serta Timbalannya dan saya dimaklumkan agar tunggu arahan selanjutnya. Selepas itu, saya mendapat arahan Ketua Polis Perlis agar hentikan siasatan kerana kes akan dibawa kepada pihak atasan,” katanya dalam prosiding RCI di sini, hari ini.

Ketika menjawap soalan Timbalan Pengerusi RCI, Tan Sri Norian Mai sama ada polis daerah, polis Perlis dan Bukit Aman tidak gempar dengan penemuan kem penempatan dan kubur berkenaan, Rizani berkata, baginya kes tersebut amat besar namun tindakan polis dalam hal itu perlahan.

“Pada pandangan peribadi saya, mungkin pucuk pimpinan anggap ini perkara sensitif dan mahu menjaga sensitiviti antara Malaysian dan Thailand. Saya juga tidak dihubungi secara peribadi oleh Bukit Aman mengenai kes ini kecuali Ketua Polis Perlis sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa polis perlahan untuk mengambil tindakan kerana mahu menutup kelemahan dan tidak mahu ianya tersebar kepada umum, Ruzaini menolak andaian itu kerana pihaknya telah memberikan segala maklumat kepada Bukit Aman.

“Kalau mahu kata begitu, saya tidak bersetuju kerana peringkat polis Perlis telah merujuk kepada Bukit Aman untuk persetujuan dan kami hanya menunggu arahan selanjutnya.

“Pada ketika itu, saya dengan kekuatan 28 pegawai dan 269 anggota sanggup sekiranya diberikan arahan dan ‘payung’ untuk saya lakukan operasi tersebut,” katanya yang kini memegang jawatan Penolong Pengarah D6 Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.-UTUSAN ONLINE