Presiden Pusat Perubatan NSCMH (NSCMH), Datuk Lee Tian Hock berkata, keutamaan perlu diberi kepada usaha pesakit berkenaan mendapatkan rawatan terlebih dulu terutamanya mereka yang tidak berkemampuan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holding Berhad (MCHB) berkata, pihaknya akan berusaha mencari pembiaya yang sesuai sekiranya pesakit tidak berupaya menampung kos rawatan sebanyak RM130 untuk setiap sesi.

“Pastikan jangan tolak jika ada pesakit yang datang untuk dapatkan rawatan. Berikan rawatan dulu dan pesakit tidak mampu, kita cari jalan supaya kos itu dapat ditampung oleh pihak lain.

“Pada masa ini, pesakit dari Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) disubsidi sepenuhnya manakala mereka yang dapat bantuan Kementerian Kesihatan hanya dikenakan caj RM10 untuk setiap rawatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi pertemuan dengan 11 pengerusi cawangan Pusat Hemodialisis NSCMH di sini hari ini.

Kesemua 11 cawangan berkenaan itu sebelum ini terletak di bawah Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) sebelum diambil alih oleh NSCMH mulai 11 Jun lalu.

Sebanyak lima pusat hemodialisis itu terletak di negeri ini, dua buah masing-masing di Selangor dan Johor serta sebuah di Kuala Lumpur dan Sabah dengan keupayaan sebanyak 114 mesin hemodialisis.

Untuk rekod kedua-dua PHM dan NSCMH dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada Februari lalu, Pusat Perubatan Mawar (MMC) yang merupakan subsidiari kepada PHM telah dibatalkan lesen dan diarah menutup operasi oleh Kementerian Kesihatan selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Bagaimanapun, penutupan MMC tidak melibatkan 13 cawangan pusat hemodialisis yang dilesenkan di bawah PHM.

Tian Hock menarik perhatian, seramai 356 pesakit yang kini mendapatkan rawatan di 11 cawangan pusat hemodialisis itu tidak perlu bimbang dengan kemelut yang melanda PHM sebelum ini.

“Tiada lagi isu sekarang. Sebanyak lapan cawangan telah pun memperbaharui lesen daripada Kementerian Kesihatan manakala tiga lagi dalam proses berbuat demikian,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE