Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ipoh, N. Mageswari membenarkan permohonan perintah reman terhadap lelaki berusia 37 tahun itu sehingga 15 September ini.

Turut direman untuk tempoh yang sama ialah seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 30 tahun dipercayai bersubahat dengan Hakim Syarie berkenaan.

Kedua-duanya direman selama lima hari bermula hari ini hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, kedua-dua mereka tiba di Mahkamah Majistret Ipoh pada pukul 11.15 pagi dan keluar kira-kira dua jam kemudian.

Hakim berkenaan ditahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah kedai makan di Taman Desa Chemor di sini pada pukul 11.30 malam semalam.

Manakala anggota polis berkenaan pula ditahan di tempat kerjanya di Balai Polis Bukit Merah di sini pada pukul 1.45 pagi ini.

Kedua-dua mereka ditahan polis selepas dipercayai terlibat untuk memperoleh suapan berjumlah RM4,000 bagi tujuan melepaskan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang ditahan atas kes khalwat.

Peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah mewakili Hakim Syarie tersebut manakala anggota polis diwakili peguam B. Vivien Mitchiel. - UTUSAN ONLINE