Menurut Pensyarah Ekonomi Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng, semakin ramai yang tidak berkahwin bermakna pembentukan isi rumah semakin perlahan manakala kadar kesuburan yang rendah pula membawa kepada kadar pertambahan populasi yang juga lebih perlahan.

“Trend kekurangan perkahwinan dan kadar kesuburan yang rendah sudah dilihat selama beberapa tahun. Ia tidak mengejutkan kerana konsisten dengan peningkatan tahap pendapatan dan pembangunan ekonomi yang berlaku di seluruh dunia.

“Pengurangan penduduk dan penuaan akan menyukarkan usaha untuk mencapai pertumbuhan yang tinggi dan mapan. Mereka yang tinggal terpaksa bekerja lebih keras dan lama, sememangnya akan merencat pertumbuhan negara,” katanya seperti dipetik akhbar New Straits Times di sini hari ini.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pembangunan negara yang pantas ‘menghalang’ golongan bujang yang kuat bekerja untuk berkahwin.

Kata beliau, peningkatan kos sara hidup menekan golongan itu supaya mencapai status ekonomi yang lebih tinggi atau untuk mendapatkan kenaikan pangkat.

“Di kawasan bandar, masyarakat memilih untuk membuat kerja sambilan seperti menjadi pekerja e-hailing atau memulakan perniagaan kecil-kecilan. Ini menyebabkan mereka bekerja lebih masa hanya untuk mengatasi kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Menjadi negara tua (ageing nation) pada kadar yang lebih pantas pula menjadi kebimbangan Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid sekiranya kadar perkahwinan rakyat Malaysia terus jatuh dari tahun ke tahun.

Hal ini kerana sebuah negara tua mempunyai sumber yang lebih sedikit untuk mengutip cukai namun perlu berbelanja lebih untuk penjagaan kesihatan golongan tua.

“Membina keluarga itu penting kerana menjadi individu berkeluarga memerlukan pemikiran yang berbeza, akan ada lebih tanggungjawab dan pada satu tahap tertentu, meningkatkan kemahiran sosial untuk berinteraksi dalam konteks keluarga yang lebih besar.

“Kadar perkahwinan yang lebih baik juga mampu menambah kerancakan aktiviti ekonomi seperti pertambahan permintaan dalam sektor hartanah, kesihatan, kewangan, pendidikan dan pelancongan,” katanya. - UTUSAN ONLINE