Ketika ditanya pihak media, Zakir berkata, ramai pihak sudahpun menjawab perkara yang diutarakan dalam surat terbuka seorang peguam kontroversi kepadanya baru-baru ini.

"Ramai orang sudah balas surat itu, ratusan orang sudah jawab," katanya ringkas selepas program Ceramah Eksekutif sempena program jelajahnya ke negeri ini di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan pihak seperti peguam Anas Zubedy yang mahukan Zakir keluar dari negara ini secara sukarela atas alasan kehadiran beliau boleh mencetuskan ketidakstabilan dan ketidakharmonian kaum dan agama.

Saranan Anas itu pula mendapat sokongan daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang sendiri yang kemudiannya telah dikritik hebat khususnya oleh umat Islam.

Terdahulu, Zakir dalam ucapannya berkata, beliau gembira mendapat taraf pemastautin tetap (PR) di negara ini sejak beberapa tahun lalu dan berharap Malaysia terus menjadi sebuah negara yang membela saudara seagama yang tertindas.

"Saya mendapat tawaran daripada sekurang-kurangnya 15 buah negara Islam tetapi saya memilih Malaysia kerana berpendapat inilah tempat yang terbaik.

"Saya tidak akan tukarkan situasi atau kedudukan yang saya hadapi sekarang dengan sesiapa pun di dunia ini, malah kini saya mendapat lebih peluang untuk beribadat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula berkata, menjadi satu tanggungjawab untuk membela saudara seagama apatah lagi yang sudah bergelar pemastautin tetap.

Katanya, beliau yakin Zakir adalah seorang yang tidak mempunyai rekod jenayah dan meragui niat sebenar Kerajaan India membuat permohonan ekstradisi supaya pendakwah itu dibawa pulang ke negara asalnya.

"Zakir bukan pelarian, Kerajaan Malaysia sudah beri dia taraf PR, sudah pegang kad pengenalan merah, maknanya dia adalah sebahagian rakyat yang perlu kita pertahankan walaupun bukan sepenuhnya lagi.

"Kita tahu ada tujuan politik di sebalik permohonan ekstradisi ke atasnya, ada asas agama kerana mereka tidak suka dakwahnya dapat sambutan jadi kita sebagai orang Islam kita perlu bela saudara kita," katanya. - UTUSAN ONLINE