Menurut Mohd. Ros Abas, 41, yang merupakan seorang juruperunding kos bagi projek pembesaran Masjidilharam berkata, komitmen dan disiplin rakyat Malaysia yang bekerja di sini sememangnya sangat tinggi.

Setakat ini, hanya dia dan rakannya, Mohd. Jamal Mohd. Yusof, 41, yang terlibat secara langsung dalam projek Masjidilharam, manakala yang lain dalam projek pemodenan bandar Mekah.

“Kira-kira 100 rakyat Malaysia tinggal dan bertugas dalam pelbagai bidang profesional di sekitar Mekah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Tabung Haji di sini, baru-baru ini.

Projek pembesaran Masjidilharam bernilai AS$26.6 bilion (RM110 bilion) dilaksanakan oleh Binladin Group bertujuan menampung keperluan peningkatan jemaah haji dan umrah di masa depan.

Melalui Wawasan 2030, kerajaan Arab Saudi merancang projek pembangunan bernilai AS$100 bilion (RM412 bilion) untuk bandar raya Mekah yang akan mampu menampung 30 juta jemaah haji dalam satu-satu masa menjelang 2030.

Mohd. Ros yang telah berkeluarga yang turut tinggal di sini berkata, dia pernah bekerja di Oman dan telah memulakan kariernya di sini sejak 2011.

Sementara itu, Mohd. Jamal berkata, dia telah enam tahun bertugas di dalam projek pembesaran masjid itu dan pernah terlibat dalam beberapa projek besar di Brunei seperti pembinaan lapangan terbang, hospital dan sebagainya.

Beliau berkata, nama Malaysia sememangnya telah lama terkenal di negara ini dan rakyat Malaysia sememangnya sentiasa menjaga nama baik itu dengan memberi perkhidmatan yang terbaik.

“Orang sini, kalau boleh semuanya nak rakyat Malaysia, sama ada bekerja dengan mereka ataupun menyewa rumah mereka kerana kita sangat dipercayai,” tambahnya.

Menyentuh mengenai cara bekerja, katanya, budaya bekerja di Malaysia dan Brunei berbanding di negara ini sangat jauh berbeza dan dia bersama keluarga juga pada awalnya menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan cuaca.

Hasnan Hassan, rakyat Malaysia yang telah lapan tahun tinggal di Mekah dan terlibat dalam projek pembangunan bersepadu Maad menambah, bagaimanapun, mereka tiada masalah berkomunikasi walaupun tidak fasih berbahasa Arab kerana kebanyakan urusan berkaitan pekerjaan dilakukan dalam bahasa Inggeris.

“Bahasa Arab yang kita pelajari di dalam kelas adalah bahasa Arab rasmi tetapi kebanyakan rakyat atau peniaga Arab di sini menggunakan bahasa Arab pasar,” katanya. - UTUSAN ONLINE