Mohd. Hazari Redzuan

Pengurus Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (HSE) Menara Jam Mekah, Mohd. Hazari Redzuan berkata, dia mula bertugas di bangunan itu sejak 2014 dengan bertanggungjawab bagi tujuh menara di kompleks Abraj Al-Bait itu.

"Bagaimanapun, setahun kemudian, saya ditugaskan untuk menjaga bidang HSE di Menara Jam ini yang terletak di bahagian atas kompleks," katanya kepada ditemui di bangunan Menara Jam Mekah di sini, baru-baru ini.

Katanya, kerjayanya di Mekah bermula apabila dia memohon pekerjaan tersebut yang ditawarkan oleh sebuah syarikat kerjasama antara sebuah syarikat Arab Saudi dan Malaysia.

Kedua-dua syarikat tersebut terlibat dalam projek Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor Bahru dan kemudiannya membentuk satu lagi syarikat bekerjasama untuk projek di Arab Saudi.

"Selepas berjaya dan mendapat restu keluarga, saya terus bertugas di sini dan setakat ini tidak berhasrat untuk pulang kerana kelebihan dapat tinggal di Tanah Suci," tambahnya.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga orang anak ini tidak membawa keluarganya dan akan pulang setiap tiga bulan sekali dan keluarga akan mengunjunginya ketika cuti panjang bulan Disember. - UTUSAN ONLINE