Seawal pukul 8 pagi, pengundi-pengundi berdaftar memenuhi perkarangan Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Jalan Burma di sini yang menjadi lokasi pengundian awal tersebut.

Sambil beratur menunggu giliran mengundi, penyokong tidak ketinggalan melaungkan nama calon Presiden pilihan masing-masing namun tiada sebarang kekecohan berlaku.

Konsulat Indonesia di Pulau Pinang Iwanshah Wibisono berkata, proses pengundian awal itu bermula pada pukul 8 pagi sehingga 6 petang hari ini.

“Pengundi awal berdaftar yang ada di Pulau Pinang ialah kira-kira 2,400 orang dan kita dapat lihat pengundi amat bersemangat pada kali ini berbanding pilihan raya yang lalu.

‘’Bagaimanapun pihak kami menjangka jumlah pengundi awal ini mungkin meningkat kerana negeri ini terkenal sebagai lokasi pelancongan kesihatan bagi warga Indonesia,” katanya ketika ditemui di Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di sini hari ini.

Dalam Pilpres 2019, Presiden Joko Widodo atau Jokowi akan mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal kedua bergandingan dengan pasangan baharu Ma’ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai naib Presiden.

Mereka akan ditentang oleh bekas ketua tentera Prabowo Subianto yang bergandingan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno,49.- UTUSAN ONLINE