Pelancaran tersebut berlangsung di Master Badminton Club (MBC) Klebang Putra di sini yang juga menjadi lokasi penubuhan pertama Lee Chong Wei Badminton Academy di negara ini.

Chong Wei ketika ditemui pada majlis tersebut mengakui sedikit terkilan kerana penghasilan raket berkenaan yang dirancang sejak tahun lalu, sepatutnya digunakan oleh beliau untuk persediaan melangkah ke World Championships di Basel, Switzerland pada 19 hingga 25 Ogos ini.

Namun katanya, disebabkan nasihat doktor ekoran masalah kesihatan dihadapinya, beliau telah mengumumkan persaraannya pada Jun lalu.

"Ketika itu, saya berhubung kembali dengan penaja saya Yonex-Sunrise dan bertanyakan sama ada untuk meneruskan penghasilan raket ini. Mereka kata mereka tidak kisah jika saya sudah bersara kerana kami telah menjalin kerjasama selama 15 tahun.

"Jadi, saya harap ini akan memberikan motivasi bagi menaikkan semangat saya selain menggalakkan pemain lain serta anak-anak muda untuk menceburi sukan badminton," katanya.

Ditanya mengenai kelebihan Astrox 99 LCW, Chong Wei menyifatkan ia sebagai raket agresif yang sangat berkuasa.

"Sesetengah raket mungkin hanya ada untuk 'attacking' dan 'defensive' sahaja, tetapi raket ini menggabungkan kedua-duanya sekali," katanya. - UTUSAN ONLINE