Pakar Sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam menjelaskan, hal demikian juga termasuk dalam soal memilih menteri besar dengan raja atau sultan mempunyai kuasa mutlak memilihnya manakala parti politik yang berkuasa pula hanya mengemukakan calon.


Katanya, kerajaan dipilih oleh rakyat dengan sentiasa bertukar ganti di dalam pilihan raya dan situasi itu berbeza dengan raja yang dilantik secara keturunan.


“Dalam isu di Johor, mengikut Undang-undang Tubuh Johor 1895, kuasa memilih menteri besar jelas ditentukan oleh Sultan Johor. Parti mentadbir boleh memberi cadangan calon tetapi keputusan melantik adalah kuasa mutlak Raja.

“Perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu dan kuasa raja-raja sebagai pemerintah tidak boleh dipertikaikan,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap dalam majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana memberi ingatan tentang kemungkinan raja menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi dan bukan untuk negara sekiranya memperoleh kuasa mutlak.

Dr. Mahathir dilaporkan berkata, disebabkan itu kerajaan mengadakan sistem pemerintahan dengan raja tidak mempunyai kuasa eksekutif sekali gus ini boleh menyelamatkan rakyat.



Sementara itu, Ramlah melihat pertembungan antara Perdana Menteri dengan kesultanan Johor sekali lagi berlaku seperti pernah terjadi ketika awal 90-an.


Kata beliau, apabila situasi tersebut berlaku, ia secara tidak langsung membuka ruang kepada orang ramai untuk mula tidak menghormati sistem diraja sehingga berlaku pelbagai penghinaan terhadap institusi itu.

“Perkara tersebut perlu dielak dan kita tidak mahu ada orang mula tidak hormati sistem diraja, dan akhir-akhir ini, kita dapat lihat ada yang semakin berani menghina raja termasuk Yang di-Pertuan Agong,” katanya.


Dalam pada itu, Ramlah berkata, Pakatan Harapan (PH) di Johor perlu bertolak ansur sekiranya sultan memilih mana-mana calon meskipun dalam perjanjian mereka kerusi Menteri Besar adalah untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).



“Apa jua keputusan sultan dalam soal itu (pelantikan Menteri Besar) perlu dipersetujui, tidak kiralah calon itu nanti dalam kalangan Bersatu atau PKR,” katanya.- UTUSAN ONLINE