RAHIMI AHMAD dirawat di ICU, Hospital Christchurch, New Zealand dan dijangka dibedah hari ini. UTUSAN/FACEBOOK AZRUL MAHATHIR AZIZ

Pegawai Perubatan di Hospital Christchurch yang juga merupakan rakyat Malaysia, Mohamad Firdaus berkata, dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ia­itu Mohd. Tarmizi Shuib, 42, dan Mohamad Nazril Hisham Omar, 46, kini stabil serta menjalani rawatan di hospital yang sama.

“Rahimi Ahmad masih di ICU, masih bergantung kepada mesin pernafasan. Dijangka akan ma­suk ke dewan bedah esok pagi untuk pembedahan wash out selanjutnya.

“Nazril Omar (mengalami) kecederaan di jari kaki dan di belakang badan, imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) tidak menunjukkan kecederaan tulang belakang tapi masih perlu ke dewan bedah untuk wash out. Tarmizi Shuib sudah menjalani pembedahan semalam, beliau stabil di wad. Kecederaan (akibat) tembakan di belakang badan, masih ada pembedahan lanjutan selepas ini,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Tambah Mohamad Firdaus, ibu kepada Rahimi serta isteri kepada Mohamad Nazril Hisham juga telah tiba di hospital tersebut dari Malaysia.

“Ibu dan abang beliau (Rahimi) juga sudah sampai ke sini bersama kedua-dua Yang Berhormat (Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz),” katanya.