Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, Ahmad Zahid juga perlu memandang serius terhadap usaha peremajaan parti serta memberikan takrifan sebenar terhadap istilah 'peremajaan' berkenaan.

"Pergerakan Puteri juga mendesak presiden untuk memberikan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah, sesuai dengan perubahan landskap politik hari ini.

"Kedua, presiden perlu mengambil tindakan tegas dan drastik kepada mana-mana wakil rakyat UMNO yang melompat keluar parti, sama ada menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai parti lain termasuk memikirkan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Zahida seterusnya menyeru kepada anggota-anggota sayap supaya meneguhkan pendirian masing-masing kerana UMNO adalah satu-satunya parti yang ada untuk mereka berpijak dalam melindungi bangsa dan agama.

"Mari kita bersatu hati memberi keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk mencari jalan terbaik demi kelangsungan ummah di negara yang bertuah ini," katanya. - UTUSAN ONLINE