Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, pejabat maya yang diuruskan PUNB Properties Sdn. Bhd. (PPSB) di Pusat Daga­ngan Antarabangsa Melaka (MITC) itu bakal memberi kemudahan kepada ramai usahawan kecil dan sederhana di negeri ini yang masih belum memiliki premis sendiri.

Menurut beliau, usaha tersebut secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pemilikan dalam kalangan usahawan bumiputera di samping menjana pendapatan baharu bagi PUNB.

“Pejabat Maya PPSB ini menawarkan kemudahan pejabat sementara untuk memulakan perniagaan dan menyediakan perkidmatan perniagaan dengan harga sangat berpatutan yang diharap dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat PPSB dan Pejabat Maya PPSB di Taman MITC Prima, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah PPSB, Datuk Jamelah A. Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Ismail A. Rahman.

Jelas Mohd. Ali, pejabat maya kini semakin dikenali di seluruh dunia terutamanya di negara-negara maju bagi memenuhi kehendak perniagaan mengikut perkemba­ngan semasa hasil gabungan inovasi teknologi dan era digital.

“Maka dengan keperluan dalam industri ini mendorong PPSB untuk mewujudkan pejabat maya yang dijangka menjadi trend di negara ini terutamanya dalam kalangan usahawan baharu berikutan kadar sewa ditawarkan lebih berpatutan berbanding pejabat fizikal,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun berstatus pejabat maya, penyewa pejabat ini boleh menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan seperti internet berkelajuan tinggi, kemudahan elektrik dan air serta ruang pejabat.

“Selain itu, pejabat maya ini turut menyediakan ruang kerja yang fleksibel lengkap dengan peralatan perniagaan dan perkhid­matan sokongan seperti faksimili, pe­ngendalian emel, operator panggilan tempatan dan luar negara seperti yang terdapat di pejabat sebenar,” tambahnya.

Sehubungan itu Mohd. Ali menggalakkan lebih ramai usahawan terutamanya mereka yang baru menceburi bidang tersebut untuk menikmati segala kemudahan disediakan di pejabat maya PPSB berkenaan dengan kos yang lebih menjimatkan.

“Kita sasarkan sebanyak 100 penyewa akan menggunakan kemudahan pejabat maya dengan keluasan dua blok dua tingkat ini dan sekiranya sambutan memberangsangkan, PUNB akan membeli beberapa blok baharu bagi menampung keperluan pelanggan,” katanya.