Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, prototaip sebenar kereta terbang itu sedang dibangunkan di Jepun oleh rakyat Malaysia tanpa menggunakan satu sen duit negara dan dijangka siap hujung tahun ini.

“Reka bentuknya juga pelbagai yang menggunakan pemandu dan tanpa pemandu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mengenai kecaman orang ramai terhadap model skala kecil itu, katanya, mereka boleh memilih untuk berada di belakang atau menaiki ‘kereta buluh’.

Menurutnya, kecaman terhadap model yang dikenali sebagai Vector itu adalah perkara biasa kerana fokus utama kerajaan adalah pembangunan modal insan.

Jelas beliau, kerajaan juga perlu membangunkan ekosistem dan infrastruktur kereta terbang termasuk menggubal undang-undang dan lesen bagi membolehkan kereta terbang digunakan di negara ini.

Tambah Mohd. Redzuan, kerajaan tidak pernah merancang untuk membina kereta terbang tetapi sentiasa menyokong inisiatif swasta yang mahu menggalakkan budaya mencipta.

“Kita juga ingin mengembangkan kemahiran dalaman rakyat Malaysia dalam penggunaan industri tertinggi kerana kita mempunyai Revolusi Industri (IR4.0),” katanya.

Semalam, model skala kecil kereta terbang, Vector yang dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan, Aerodyne Sdn. Bhd. menjadi tumpuan pengunjung LIMA 2019.