Dr. Mahathir Mohamad

Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ketika ini kerajaan tidak memaklumkan kepada pihaknya apa yang terkandung di dalam TPPA termasuk apa yang telah dipersetujui dan juga peluang yang ada sekiranya perjanjian itu dimeterai.

Beliau berkata, sukar untuk Proton bersaing tanpa sebarang perlindungan khas memandangkan pengeluar kereta utama negara itu merupakan syarikat kecil dalam industri automobil dunia yang hanya mengeluarkan sebanyak 160,000 buah kereta setahun.

“Mereka (kerajaan) tidak memberitahu kami apa yang ada dalam TPPA, termasuk apa yang telah dipersetujui dan apa peluang yang ada, kita adalah pengeluar kecil dengan mengeluarkan 160,000 buah kereta setahun berbanding syarikat besar yang mengeluarkan sebanyak 10 juta buah kereta setahun.

“Kami mahu tahu (butiran TPPA) kerana salah satu perkara tentang TPPA ini adalah tidak boleh ada diskriminasi antara produk tempatan dan produk yang diimport serta tidak ada diskriminasi antara kontraktor tempatan dan kontraktor luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai persoalan adakah Proton mampu bersaing selepas kerajaan memeterai perjanjian TPPA. Terdahulu Mahathir merasmikan penubuhan Pertubuhan Perintis Malaysia.

Bagaimanapun Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, ketika ini Proton sudah terpaksa bersaing dengan syarikat pengeluar kereta luar negara, perkara ini boleh dilihat apabila masyarakat lebih suka membeli kereta keluaran negara luar berbanding tempatan.