Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, bagaimanapun, usaha itu memerlukan langkah yang cermat dan berhati-hati bagi memastikan tidak tersilap langkah.

“Kita tidak mahu pihak berkuasa di negara dimana Jho Low sedang bersembunyi berasa seolah-olah kita mahu menekan mereka.

“Bagaimanapun, proses rundingan masih sedang dijalankan dengan pihak berkuasa di negara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama Warga PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa tempat Jho Low bersembunyi memahami keperluan membawa pulang ahli perniagaan terbabit.

Katanya, pihaknya tidak meletakkan sebarang tempoh yang ditetapkan dalam usaha membawa pulang Jho Low.

“Proses berkenaan sedang berjalan dan saya harap mereka faham mengenai keperluan membawa pulang Jho Low bagi menghadapi proses undang-undang di negara ini.

“Setakat ini, proses berkenaan sedang berjalan dan kita tidak meletak sebarang tempoh masa yang ditetapkan dalam usaha membawa pulang Jho Low,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE