Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, setiap keluarga kaum itu bakal menerima 20 pokok terung.

Beliau berkata, tanaman itu juga akan ditempatkan di kawasan yang sudah disediakan berhampiran penempatan mereka agar mudah dijaga.

“Langkah itu sebagai usaha untuk memberi punca pendapatan kepada setiap keluarga Orang Asli seperti dijanjikan kerajaan sebelum ini.

“Pokok terung yang akan dibekalkan itu berkualiti tinggi dan sudah peringkat awal mengeluarkan buah dan tidak lama boleh dipasarkan," katanya di sini hari ini.

Hashim Alang berkata, sebelum pokok terung projek perintis itu dibekalkan, Jakoa juga akan memasang pagar terlebih dahulu di kawasan projek terbabit.

Katanya, langkah itu supaya tanaman sayuran berkenaan tidak diganggu musuh tanaman.

“Kita menetapkan jadual pusingan bagi tanaman kontan itu dan apabila habis buah terung dituai, kita bagi pula tanaman lain secara berterusan.

“Kita berharap Orang Asli di kampung itu akan memberi kerjasama bagi menjayakan projek tanaman kontan bagi menambah pendapatan mereka," katanya.

Tambah beliau, pihaknya menyedari Orang Asli kampung terbabit juga semakin sukar untuk mencari hasil hutan seperti pokok herba dan rotan kerana semakin pupus.

Katanya, Jakoa akan memberi mereka pendedahan dan latihan berterusan untuk projek tanaman kontan.

“Kita juga melihat gaya hidup Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh semakin berubah apabila mereka semakin pandai menjaga kebersihan diri,” katanya. - UTUSAN ONLINE