Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu sebagai pelaksanaan salah satu daripada teras strategik bagi matlamat Kemakmuran Bersama iaitu teras keenam, Pembangunan Wilayah yang Inklusif, untuk menangani jurang pembangunan antara wilayah.

“Sebagai Kementerian yang memberikan tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang adil, kementerian turut akan memberikan tumpuan kepada penciptaan industri-industri baru seperti yang diungkapkan dalam teras kedua, Sektor Pertumbuhan Baru.

“Ia adalah bagi menjana ekonomi negara kepada aras yang lebih tinggi dan relevan dengan perkembangan zaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam menggariskan tujuh teras strategik bagi memastikan matlamat Kemakmuran Bersama yang dirangka oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat dicapai.

Menurut Perdana Menteri, Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, ledakan teknologi baharu dalam era Revolusi Industri 4.0 menuntut pelaburan dan pengwujudan kapasiti dalam 15 sektor cadangan sebagai bidang pertumbuhan utama ekonomi.

Jelasnya, sektor itu antaranya industri kandungan (hiburan dan digital), hub ASEAN (logistik, teknologi, penyelidikan dan pejabat wilayah) serta pertanian pintar dan bernilai tinggi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga besar kementerian yang telah bekerja dengan dedikasi dalam tahun yang lalu untuk merangka dasar-dasar pembangunan yang menjana pertumbuhan.

“Kita perlu terus meningkatkan usaha untuk memperkukuhkan ekonomi negara demi kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya. - UTUSAN ONLINE