Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek itu juga akan diteruskan selepas pemaju iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memastikan kontraktor projek berkenaan mengambil langkah keselamatan lebih baik di tapak pembinaan.

Ujar beliau, projek-projek di kawasan sensitif di negeri ini termasuk di kawasan bukit dibuat berdasarkan penilaian profesional dan mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada.

Namun, tambahnya, cabaran dalam projek di kawasan seperti itu akan timbul dari sudut pemantauan sepanjang projek tersebut berjalan.

“Tetapi apabila konsultan projek yang dilantik sudah menilai berkenaan isu keselamatan di tapak pembinaan, maka pembangunan perlu diteruskan dan keutamaan harus diberikan kepada langkah kawalan dan pemantauan di tapak projek yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kon Yeow mengulas mengenai desakan beberapa pihak supaya kerajaan negeri membatalkan projek pembinaan lebuh raya di Bukit Kukus itu serta beberapa projek pengangkutan mega lain yang sedang dirancang di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri.

Kejadian tanah runtuh semalam yang mengorbankan seramai tiga orang setakat ini merupakan sebahagian Projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus bernilai RM545 juta yang dijangka siap Mac 2020.

Projek itu dimulakan pada 2016 membabitkan tiga pemaju utama iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); PLB Land Sdn. Bhd. serta Geo Valley Sdn. Bhd. dan kejadian runtuhan semalam berlaku dalam projek di bawah kendalian MBPP. - UTUSAN ONLINE