Rina Harun
Rina Mohd Harun 

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kelewatan merebut peluang itu akan menjejaskan pembangunan aktiviti MPKK kepada masyarakat kampung.

Katanya, MPKK telah diberi penerangan mengenai geran itu dan dibimbing untuk menyediakan kertas permohonan menerusi kursus induksi yang telah dibuat oleh kementerian kepada MPKK di Melaka, Johor dan Kedah.

"Permohonan geran diharap dapat disegerakan kerana sehingga kini kementerian masih belum menerima permohonan daripada MPKK," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program interaksi menteri itu bersama MPKK serta merasmikan penutupan kursus induksi MPKK Perak di sini hari ini.

Kursus dua hari yang bermula semalam melibatkan 1,658 pengerusi dan setiausaha dari semua 12 daerah di Perak iaitu Larut, Matang dan Selama; Muallim, Perak Tengah; Kerian; Kinta; Kuala Kangsar; Bagan Datuk; Batang Padang; Kampar; Hulu Perak; Hilir Perak; Manjung.

Kursus induksi oleh KPLB menerusi Institut Kemajuan Desa itu adalah wajib kepada semua MPKK seluruh negara bertujuan memberi pendedahan, pengetahuan serta pemahaman kepada mereka berkaitan peranan dan tanggungjawab dalam mengurus desa dan masyarakat.

Selain itu, Rina juga menggesa MPKK melengkapkan data kampung atau profil kampung menerusi Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional (SPKPN) yang mengandungi maklumat terperinci kampung dan sistem iDesa iaitu aplikasi telefon pintar.

MPKK akan dibantu oleh jabatan dan agensi KPLB di peringkat negeri dan daerah supaya maklumat itu dapat dilengkapkan segera pada tahun ini dan diharap pangkalan data kampung berkenaan lengkap dan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.

"Ada yang dah isi (data kampung) tapi masih belum mengikut sasaran yang kita nak. Kita nak ada produk kampung juga supaya masyarakat khususnya pelancong yang mengakses aplikasi itu mendapat maklumat yang lebih terperinci," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata, kementerian itu akan melancarkan Program Desa Harapan di Kedah April ini selepas program itu dilancarkan di Kampung Kinjang, Chenderiang dekat Tapah di sini, yang dipilih sebagai projek perintis pada 18 Dis lepas.

"Kita akan lancarkan di setiap negeri mengikut kesesuaian masa dan penglibatan daripada syarikat swasta. Mungkin selepas Kedah kita akan lancar di Johor pula," katanya.

Melalui program itu, syarikat swasta yang selama ini melaksanakan projek program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara bersendirian terutamanya di kawasan kampung dapat diselaraskan bersama-sama dengan KPLB supaya penduduk berupaya menjana pendapatan mereka menerusi program yang bersesuaian. – BERNAMA