Produk yang merupakan um­pan anai-anai itu dihasilkan daripada tandan kelapa sawit kosong bersifat mesra alam dan pernah menyertai beberapa pertandi­ngan di peringkat antarabangsa serta tempatan.

Hospital Umum Sarawak pula memenangi kategori Perkhidmatan dengan projek penghasilan ‘Proses Dentur Penuh Satu Hari’ untuk mengurangkan masa dan kos perbelanjaan perjalanan khusus pesakit di kawasan pedalaman.

Pemenang kedua-dua kategori inovasi tersebut masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000, trofi serta sijil yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Ketua Setia­usaha kementerian, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhar Yahaya.

Bagi kategori Akar Umbi, Muhibbah Sinergia Resources membawa pulang RM20,000 atas usaha mencipta Mygic Pensugi iaitu produk sunah daripada sebatang kayu arak kepada sebatang pen kayu sugi pakai buang yang mesra pengguna.

Sementara itu, hasil inovasi pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan, Perak telah dinobatkan sebagai pemenang kategori Sekolah, mengetepikan 10 pesaing lain dari seluruh negara.

Ciptaan pelajar kolej tersebut iaitu CATTAPA merupakan salah satu alternatif rawatan dan teknologi pertanian organik bagi tanaman dan ternakan telah berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.

Anugerah Saintis Muda Negara dirangkul oleh Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Foo Keng Yuan manakala Anugerah Juruteknologi Negara pula dianugerahkan kepada Noor Azwan Ahmad dari Universiti Teknologi Petronas.

Masing-masing memenangi RM20,000 dan RM10,000, berserta trofi dan sijil.

Dalam pada itu, wartawan The Star, Tan Shiow Chin berjaya memenangi kategori media cetak dengan tajuk penulisannya, Hope With Haplo manakala wartawan RTM Sabah, Ritah Aloysius menang kategori media elektronik dengan laporan khas beliau bertajuk Inovasi Kitar Semula.

Kedua-dua mereka memena­ngi hadiah wang tunai RM10,000.

AIN merupakan anugerah ta­hunan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi mengiktiraf pereka cipta tempatan yang menghasilkan produk atau perkhidmatan melalui daya kreativiti dan inovasi.