Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, oleh itu, Pas akan memberikan sokongan kepada wakil pembangkang yang akan meletakkan calon mereka bagi menentang wakil daripada Pakatan Harapan (PH).

“Kita harap PRK ini menghasilkan keputusan yang akan menguatkan wakil pembangkang di Parlimen. Ini kerana, kerusi tersebut pernah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu.

“Kemenangan calon pembangkang nanti sudah pasti akan menjadikan proses semak dan imbang dalam Parlimen lebih efektif demi kebaikan negara dan rakyat jelata. Selaras dengan itu, Pas Sandakan dan Pas Sabah khususnya akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat bagi membantu calon pembangkang menghadapi PRK tersebut,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerjas Pas Pusat yang berlangsung kelmarin.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt dari DAP akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14, BN bertanding di kerusi itu menerusi calon, Datuk Lim Ming Hoo dari Parti Liberal Demokratik (LDP), bagaimanapun, LDP kini sudah tidak lagi menjadi sebahagian parti komponennya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu mengarahkan ahli dan penyokong Pas di kawasan itu supaya turun membuang undi sebagaimana pendirian parti bagi memberi sokongan kepada calon yang mewakili pihak pembangkang. -UTUSAN ONLINE